Showing posts with label Memoir. Show all posts
Showing posts with label Memoir. Show all posts

Wednesday, March 10, 2010

Di Persimpangan Kenangan (I)


Awan kelabu berarak berat. Suasana alam bagaikan di sumpah menjadi muram. Segala-galanya hilang seri. Segala-galanya hilang punca. Yang ada hanyalah keriuhan hujan menyimbah bumi. Megah menguasai alam.Dari balik tingkap, Siti melihat keganasan hujan. Rakus menyimbah bumi, hanyalah untuk menyegarkan kembali alam yang sekian lama terkurung dengan debu dan kehangatan. Itulah aliran alam.

Siti menghela nafas panjang. Saat itu dirasakan seolah-olah alam juga turut mengerti perasannya. Mengerti hatinya. Setelah sekian lama. Setelah lebih 9 tahun, kini nama Riezman wujud kembali dalam dairi memorinya. Nama jejaka yang penuh dengan persoalan. Nama yang pernah memberi suatu kenangan buat dirinya.

Masih jelas, seolah-olah bagaikan semalam dia melangkah masuk ke kelas 4P1. Di saat kakinya menapak masuk, beberapa siulan nakal dari pelajar lelaki menyambutnya. Siti hanya tersenyum malu. Matanya lapang memandang wajah-wajah yang bakal menjadi classmatenya. Dan matanya terhenti pada wajah tampan di bahagian belakang kelas. Siti melemparkan senyuman. Tapi, tanpa apa-apa reaksi, wajah itu terus mengalihkan pandangan ke luar tingkap. Sombong! gerutu hati Siti.

" Okay kelas, hari ni kita ada pelajar baru...", lantang Cikgu Radi membuat pengumuman. Kemudian, guru muda lepasan UKM itu memberi peluang untuk Siti memperkenalkan dirinya. Setelah menarik nafas dalam, Siti pun mula bersuara.

" Err... nama saya Siti Farain, panggil saya Siti aje. Saya baru berpindah dari Pekan, Pahang. Dan...". Tenang Siti memperkenalkan dirinya. Sesekali, matanya memandang ke bahagian belakang kelas.

Nyata, wajah tampan itu tak sedikit pun berminat mendengar tentang dirinya. Siti hanya menjeling geram. Alah, dia ingat aku syok kat dia kot!! Boleh jalan la!!

"Riezman, sebelah awak tu kosong kan..?", Cikgu Radi bersuara, sebaik saja Siti selesai menjawab soalan-soalan perkenalan dari classmate barunya. Siti memandang kearah pelajar yang bernama Riezman . Wajah tampan di bahagian belakang kelas, hanya mengangguk kecil.

"Siti, tempat awak di sebelah Riezman ", kata-kata dari Cikgu Radi disambut dengan sorakan riuh dari pelajar-pelajar 4P1. Tapi, hati Siti memberontak. Tak ingin dia
duduk sebelah Riezman. Sombong! Perasan!

" Pewwitt!!! couple baru!", " Man, dapat makwe baru!!". Suara-suara sumbang di celah keriuhan pelajar 4P1. Muka Siti merah menahan malu di hari pertama. Tapi dilihatnya Riezman tetap tenang. Seolah-olah tiada apa yang berlaku. Jejaka itu tetap memandang keluar tingkap, tanpa apa-apa reaksi. Di saat Siti duduk di tempat barunya pun, Riezman tetap membatu. Dingin!

Monday, November 16, 2009

Cebisan Memori (III)

Sebuah pengumuman mengejutkan aku dan penumpang - penumpang yang lama dibuai mimpi. Rupanya kami telah pun berada di ruang angkasa Malaysia, tanahair tercinta. Pesawat akan mendarat tidak lama lagi. Hatiku melonjak kegembiraan. Kesabaranku benar-benar teruji. Aku tersenyum sendiri.

“Ada sesiapa yang menanti?” tanya Daniel seakan dapat membaca isyarat mindaku. Aku mengangguk pantas.

“Orang tersayang?” tanyanya lagi. Aku anggukkan kepala lagi, tersipu - sipu. Malu pula rasanya padanya. Tapi Daniel segera faham dan berkata, “Tahniah!” Aku menyambut huluran tangannya. “Bienvenue en Malaisie et Bon voyage!” ucapku padanya.

Pesawat telah pun mendarat di luar sedarku. Para penumpang mula bangun dari tempat duduk masing-masing. Mereka segera mengambil beg masing-masing untuk dibawa keluar. Aku mengambil beg sandangku dan beratur menunggu giliran menuju pintu keluar pesawat.

“Welcome home, Sir!” ucap seorang pramugari mesra sebaik aku melepasinya untuk menuruni tangga yang sedia menanti di pintu. Sebuah bas sedia menanti untuk membawa sejumlah penumpang ke Balai Ketibaan. Penumpang bersesak-sesak di dalam bas menyebabkan aku hilang pengawasan ke mana perginya jiran sepenerbanganku tadi.

Di Balai Ketibaan, aku menunggu kemunculan beg-beg pakaianku dengan iringan debaran. Aku khuatir ke tempat lain pula singgah begku itu. Mujurlah, akhirnya mataku terpandang dua buah beg muncul dibawa oleh escalator. Sebaik aku meninggalkan Balai Ketibaan, sepasang mataku ligat mencari. Dua buah beg bersaiz besar kutarik ke hulu ke hilir. Orang yang kucari belum muncul lagi. Di mana si dia? Terlupakah dia? Mustahil! Surat telah kulayangkan tiga minggu sebelum kepulangan. Atau warkah itu tidak menemui pengirimnya?

“Good morning, Sir! Can I help you?” suara seseorang kedengaran menyapa. “Do you need a taxi?” Dia menyambung pertanyaannya. Aku geleng - gelengkan kepala macam orang dungu. Tawar hati aku hendak menjawab pertanyaannya. Pelik sebab tidak disapa dengan bahasa Melayu. Mungkin muka aku pun dah bertukar iras Mat Saleh dek terlalu lama di perantauan.

Jam menunjukkan waktu telah pun menjangkau 7:30 pagi. Mungkin masih terlalu awal untuk si dia menyusul kedatanganku. Mungkin dia baru siap berkemas dan dalam perjalanan untuk menemuiku. Aku segera mencari mana - mana kedai yang mungkin menjual kad telefon. Belum sempat langkah kuatur, cuping telingaku ditampan suara seseorang.

“Yan! Kau nak ke mana tu?” Dan di hadapanku berdiri gagah seorang teman, Rizal. Dia segera menjabat tanganku. Si dia tunduk membisu di sisi Rizal.

“Yan, kami berdua sekarang suami isteri,” Rizal segera menunjuk ke arah si dia. Bagai nak gugur jantungku mendengar pengakuan Rizal secara mendadak itu. Mulutku melopong menelan hakikat. Azila mengelek seorang bayi comel. Apakah aku ini sedang bermimpi? Aku tertanya - tanya sendiri.

“Maafkan aku, Yan,” bisik Rizal ke telinga. Tangan kirinya memegang erat bahuku. Dia seperti merasa bersalah terhadapku. “Akan aku jelaskan segala-galanya nanti…” bicara Rizal tersekat. Apakah maknanya bicaranya itu? Aku menjadi semakin bingung. Ini bukanlah berita yang aku harapkan sebaik menjejak kaki ke tanahair.

“Jom, kita balik dulu. Family kau dah lama tunggu!” ajak Rizal lantas menunjuk arah jalan keluar padaku.

“Abang Sufian, maafkan Ila,” ucap Azila menahan sebak. Aku segera mengalihkan pandangan. Kucapai kasar kesemua begku dengan kedua belah tangan. Kakiku segera melangkah. Tak akan kubiarkan mereka meneruskan permainan ini.

Aku ingin berlari pantas meninggalkan Rizal dan Azila tetapi beg - beg yang menjadi bebanan membataskan kudrat. Aku akan belajar menempuh hidup baru. Hidup tanpa angan - angan indah yang telah sering benar kuukir sebelumnya. Aku tidak ingin menangis. Aku tidak akan bersedih. Aku akan segera ke desa kelahiran untuk mencium tangan suci ibu. Tentunya kasih ibu yang menanti keseorangan di desa lebih tulus, murni dan suci. Kata orang, manusia adalah makhluk yang pelupa. Semoga aku dapat segera melupakan episod kusut masai di negara orang dan raut Azila yang kini kepunyaan orang lain.


Tuesday, November 10, 2009

Cebisan Memori (II)

Kebosanan demi kebosanan kulalui dan aku bersedia untuk menghadapi satu lagi kebosanan sebelum menjejakkan kaki ke tanahair. Para penumpang berpusu-pusu ingin memasuki kabin pesawat.

“Good morning, Sir! Welcome aboard .” Ah! Lagi-lagi bahasa asing yang jadi pertuturan. Bilakah aku akan mendengar bahasa mulia ibunda? Terlalu rindu rasanya. Putih sangatkah kulitku ini? Jikalau ada Rizal, sudah tentu akan ditegurnya pramugari yang menuturkan bahasa Inggeris itu. Bilakah anak bangsa akan mula percaya pada bahasanya sendiri? Begitulah yang selalu disoalkan si Rizal.

Perjalanan dari Paris ke Kuala Lumpur akan mengambil masa enam belas jam. Kebosanan terakhir yang mesti kutangani dengan bijak. Di sebelah kananku dua orang muda mudi berbangsa Perancis sedang memperkatakan sesuatu. Mungkin aku perlu manyampuk perbualan mereka untuk meringankan beban kebosanan.

Sebelum bergerak, juruterbang penerbangan memulakan ucapan dengan mengalu-alukan ketibaan para penumpang dan memberikan sedikit sebanyak maklumat mengenai penerbangan yang akan dikendalikannya. Para pramugari manis dan pramugara segak juga sibuk mundar mandir untuk memastikan setiap penumpang mengikut arahan yang ditetapkan sewaktu berada di dalam kapal terbang. Ada juga yang menolong penumpang mengenakan tali pinggang keselamatan.

Sewaktu pesawat MH005 mula bergerak meninggalkan lapangan terbang Charles De Gaulle, keghairahan dan kekhuatiran berbaur menguasai minda. Aku ingin cepat tiba di negeri tumpah darahku. Dalam masa yang sama aku sedar penerbangan ini juga tidak terlepas dari risiko kemalangan atau lain-lain halangan. Betapa kerdilnya kita di ruang angkasa milikNya. Isyarat “Sila Pasang Tali Pinggang Keselamatan” masih belum padam. Sejurus kemudian aku terasa tubuhku terdungak sedikit tanda pesawat mula menaikkan sedikit muncungnya untuk mencapai altitud yang lebih tinggi.

Aku membuang pandang ke bumi. Rumah - rumah dan segala macam bangunan juga kenderaan di daratan kelihatan semakin mengecil. Manusia yang mundar mandir kelihatan seperti semut - semut yang merayap. Sebaik lampu isyarat yang meminta para penumpang mengenakan tali pinggang keselamatan terpadam, suara juruterbang yang mengemudi penerbangan kedengaran lagi memberitahu paras ketinggian pesawat.

Aku membayangkan keseronokan-keseronokan di tanahair yang bakal kutempohi bersama si dia. Kami akan meraikan Aidil Fitri bersama. Setelah enam tahun melalui Aidil Fitri yang hambar di Perancis, tahun depan dendamku akan berbalas. Walau bagaimanapun, itu perkara nombor dua, Yang paling penting, yang nombor wahid, aku perlu menikahi si dia dahulu. Begitulah rancanganku. Dan kami akan tinggal sebumbung secara sah, mengecap kelazatan hidup berumahtangga yang memang pun disuruh Nabi.

Aku disergah dari khayalanku entah untuk kali yang keberapa. Seorang pramugari dengan senyum manis menanyakan menu pilihanku. Setelah menyatakannya, pramugari itu kemudian menghulurkan hidangan. Aku menghabiskan lauk yang dihidang dengan lahapnya. Jiran di sebelahku hanya menjamah sayur-sayuran dan biskut yang dihidangkan. Mungkin dia tidak begitu berselara dengan makanan yang dihidangkan.

Aku cuba melelapkan mata setelah makan tetapi tidak berjaya. Sebuah filem sedang ditayangkan di papan skrin tapi tak ramai yang ambil endah sangat. Mungkin disebabkan kebisingan enjin kapal terbang. Ada juga yang segera terlelap sebaik menamatkan hidangan.

“Anda rakyat Malaysia?” tanya jiran di sebelahku, Daniel, selepas kami berkenalan. Aku anggukkan kepala menjawab pertanyaannya. Dia menyatakan kekagumannya sebaik kuberitahu telah menetap selama enam tahun di Perancis.

“Bagaimana pandangan anda terhadap negara kami?” tanyanya lagi. Agak rumit juga soalannya itu. Aku kurang pasti apa yang harus dikatakan.

“Orang Perancis mempunyai kelainannya sendiri,” begitu akhirnya jawaban yang mampu aku suarakan setelah agak kebuntuan pada mulanya.

“Kelainan yang bagaimana?” soalnya lagi. Kebijaksanaanku diuji lagi.

“Tiap-tiap bangsa di dunia ini mempunyai kelainan masing-masing. Orang Inggeris misalnya, agak konservatif. Bangsa Melayu pula, walaupun agak berat mulut, akan jadi peramah setelah berkenalan dan seringkali tak lupa memberi senyuman unik apabila berbicara,” tegasku sedikit megah.

“Bangsa Perancis pula bagaimana?” pertanyaan jiran di sebelahku ini lebih mendalam nampaknya. Sebenarnya aku tidak mahu menyatakan apa yang terpendam di sanubariku. Bangsa Perancis pun ramai yang pemalas, lebih kerap berpiket dan bermogok dari bekerja. Bangsa Perancis nampak kesilapan dan kesusahan orang lain tetapi buta pada pekung sendiri. Bangsa Perancis hanya pentingkan diri sendiri. Itu sebenarnya yang ingin aku luahkan. Tapi aku tak mampu. Lidah merasa begitu berat. Tambahan tak semua orang Perancis sebegitu sifatnya.

“Bangsa Perancis berpegang pada prinsip kebebasan, sama ada dari segi pemikiran dan tindak tanduk mereka. Akhbar-akhbar juga lantang mengkritik kerajaan tanpa sekatan.” Itulah kompromi yang dapat aku suarakan sebagai jawapan pada jiranku. Aku menoleh padanya sebaik tamat berbicara. Jiranku mengangguk - angguk. Mungkin dia berpuashati.

“Kebebasan adalah tradisi kami sejak berzaman,” ungkapnya bangga. “Tidak begitu keadaannya di negara anda?” tanya Daniel cuba menjeratku lagi.

“Sudah tentu. Negara kami juga adalah negara demokrasi. Kebebasan wujud di negara kami. Cuma kami mungkin tidak mengambil tafsiran kebebasan bulat-bulat dari anda,” Daniel diam mendengar jawapanku. Mungkin aku tidak memberikan ruang untuknya memerangkap lagi. Kami terdiam beberapa ketika dan aku pun cuba melelapkan mata.

Monday, November 9, 2009

Cebisan Memori (I)


Masa yang kunanti - nanti sekian lama pun tiba. Malam sebelumnya aku pastikan segala-galanya siap tersedia. Beg-beg pakaian, laci, dapur, ruang tamu, bilik mandi, meja ,kerusi dan segenap ruang. Pendek kata, segala-galanya. Aku melelapkan mata di ruang bilik yang siap dikemas, lapang. Aku terkebil-kebil sekian lama sebelum mampu melangkah ke alam mimpi. Dan esoknya, aku telah terjaga di awal pagi lagi.

“Billet, s’il vous plait,” satu suara kedengaran mengejutku. Controleur atau pemeriksa tiket yang berpakaian seragam (kot dan seluar serba biru) berdiri tercegat di sebelah tempat dudukku. Perjalanan keretapi laju yang serba senyap dan selesa berjaya menarik rasa kantukku. Aku mengeluarkan tiket dari beg sandang dan segera menghulurkannya kepada lelaki yang menunggu.

“Merci et bon voyage!” ucapnya mesra dalam Bahasa Perancis setelah memeriksa tiketku. TGV terus memecut laju mengikut laluan yang dijadualkan: La Rochelle - Paris. Pun begitu hatiku tetap berdetik cemas. Tidak dapat menahan sabar lagi. Aku ingin cepat sampai. Telah terlalu lama aku berada di bumi Perancis. Telah terlalu kerap aku menutur bahasa Perancis, lebih kerap dari bahasa Inggeris maupun bahasa ibunda sendiri. Telah terlalu acap tekakku menelan masakan Perancis. Aku perlu segera pulang ke bumi Malaysia, menetap di negeri tanah tumpah darahku; makan masakan Melayu dan bertutur bahasa Melayu.

Pokok-pokok, rumah-rumah teres dan apartmen dan juga pelbagai jenis kenderaan kelihatan berlari laju ditinggalkan keretapi. Aku mengalihkan pandangan ke ruangan di dalam gerabak keretapi. Suara dua orang gadis di hadapanku kedengaran sedang rancak berbual. Aku langsung tidak faham apa yamg dituturkan, tapi aku dapat mengagak mereka bertutur bahasa Jerman. Setelah agak lama menetap di Perancis, aku dapat membezakan sedikit lenggok bahasa Sepanyol, Jerman ataupun Itali. Di sebelah kananku pula, dua orang gadis cuba berbual dalam bahasa Perancis yang kurang baik (mungkin pelancong dari Amerika Syarikat mendengarkan slanga pertuturan mereka).

Aku cuba membaca untuk mematikan kebosanan. Kuselak sahaja helai demi helai majalah dunia perfileman, ‘Premiere’. Hati dan fikiranku sudah tidak lagi di sini, di bumi Perancis ini. Ingatanku semakin menebal pada ibu, ayah, abang dan adik di tanahair sana. Juga si dia. Dan Rizal juga, rakan karibku dan entah beberapa orang lagi sahabat dan saudara mara yang sering tak luput dari ruang ingatan.

“Baliklah secepat mungkin,” ucap Rizal sewaktu aku menelefonnya tahun lepas, memberitahu hasrat untuk pulang. “Tempatmu di sini,” tambah Rizal lagi. Namun hasrat untuk pulang segera kutangguhkan apabila mendapat tawaran melanjutkan pelajaran untuk tempoh setahun lagi. Peluang sebegitu hanya hadir sekali seumur hidup dan aku tak mampu menolaknya

“Kata abang nak balik secepat mungkin,” begitu antara isi surat gadis idamanku yang kuterima tahun lepas. Seakan merajuk bunyinya. Ah! Perempuan memang begitu. Tahulah aku memujuknya setibanya aku di tanahair nanti. Tahun ini agak kurang warkahnya mengunjungiku. Mungkin dia sibuk dengan tugasannya.

“Paris! Paris! Nous arrivons a Paris…. ” Pengumuman dari pembesar suara kembali menarikku ke alam nyata. Keretapi telah pun tiba di bandaraya Paris. Aku mengangkat beg-beg kepunyaanku lalu turun ke stesen. Kesibukan kota besar segera menguasai suasana.

Sunday, July 19, 2009

Memoir Of A Lost Pilgrim (Part I)


There is a beginning of all, even the smallest that for most seems unimportant. And of course there is a beginning for my story. It started many years ago when I was just a happy living-his-life teenager back in my hometown. As usual my days were filled with school works but at the same time my teenage instinct being a daredevil was also my preoccupation. Nothing could replace the satisfaction of booby-trapping a master or doing the most filthy pranks on the others.

Yes that was life! But the life I knew was quickly erased in front of me the moment I journeyed into the new world; no turning back... I wish I could. All the good times that I once knew are just memories now. Each day that I slowly pass in the new world doesn't mean a thing for me. The days are plain, the agony deep inside strangles and I am a prisoner of my own wise decision.

I regret having my own liberty prematurely. It's just not right. I still need time to spend my teenhood alongside my buddies. Where was my head the day I made the decision? I thought being free, far from my folks and having no one to babysit me was fun. Yeah, it was, but for a short period of time only. Then I start to realize what I've missed. I've overran my own youth. If I could just go back to the day that I took my exams.. I'd try not to pass with flying colours..just an ordinary score..just credits in everything..

Friday, May 2, 2008

Une Vue de Toulouse


En 2002, j'ai loué un appartement a Toulouse.
Celle-ci est une des images de Toulouse que j'ai pris.